Monday, November 19, 2012

Bantu Aku Jadi Solehah


Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
                         
Aku kira, tiada manusia yang masih bujang terkecuali daripada mengangankan kehidupan berbaitul muslim (BM) yang sakinah mawaddah dan rahmah. Baik ikhwah mahupun akhowat.

Sebagai wanita, aku tidak terkecuali daripada kelompok yang mengimpikan keindahan untuk meniti fasa tersebut, sepanjang proses untuk mempersiapkan diri, proses untuk ke arah matlamat BM, melangkah ke fasa BM, membinanya & menitinya. Aku mengimpikan & cuba mengusahakan agar seluruh proses itu dijalani di dalam keredhaan Allah SWT. InsyaAllah.

Tidak ada.. tidak ada aku kira, manusia yang bernama wanita yang tidak mahu disunting dengan cara yang paling mulia, terjaga, diberkati & terhormat.

Oleh itu, catatan ini ditulis dari ruang reluk hati seorang wanita biasa yang mungkin boleh memberi gambaran apakah sebenarnya yang diharapkan oleh seorang wanita (mungkin tidak semua sependapat dengan penulis), ketika kamu telah berhajat untuk menyuntingnya. 


Tujuan, perancangan & matlamat Berbaitul Muslim.

Pertama sekali wahai pemuda tiang agama,
Muhasabahlah kembali... apakah tujuan berbaitul muslim ini.? Apakah tujuan kita berumah tangga ini? Adakah sudah cukup bersedia mental, fizikal, ilmu & perancangan ke arah BM ini?
Ke mana nak dibawa hubungan yang halal ini? Adakah semata hanya untuk kamu halal memegang tangan wanita idamanmu?
Atau hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsumu? 

Baitul muslim ini, tujuannya bukanlah semata-mata mahu menghalalkan perhubungan antara lelaki & wanita yang bukan mahram. Namun, ia adalah lebih besar & mulia daripada itu. Ia adalah medan terbaik untuk melahir & mendidik para pelapis pejuang Islam yang hebat! 

Sekiranya kamu tahu, kamu sedang mencari seorang calon isteri, ibu & pendidik yang bakal mendidik para pejuang Islam yang hebat ini, pastilah kamu akan lebih mengerti betapa pentingnya untuk mencari, memilih calon serta meneliti proses untuk membina dirimu sendiri selaku Imam besar di dalam rumah tangga yang bakal dibina ini.

Sememangnya ia bukan hal yang kecil & sematanya indah penuh mimpi!

Sebelum kamu berani melirik matamu ke arah muslimat dengan niat mahu mencari-cari calon isteri, apakah kamu telah benar-benar menyiapkan dirimu dengan asas-asas untuk menjadi Imam Besar baitul muslim yang bakal dibina nanti?

Mari mempersiapkan diri. Jadi soleh & solehah. 

Menurut Ustazah Fatimah Syarha, dalam proses penyediaan diri ke arah BM, sekurang-kurangnya kamu telah menghadiri 5 seminar berkenaan asas-asas pembinaan Baitul Muslim. Juga sekurang-kurangnya kamu telah membaca 50 buah catatan orang soleh & solehah/buku/kitab yang membincangkan tentang BM sebelum bernikah. 
Contoh Seminar Baitul Muslim : catatannya DI SINI ; juga boleh menyertai KULIAH BAITUL MUSLIM secara online secara berkala di sini >> KULIAH BM Bersama Ummu Atifah.

Lengkapkan pengetahuan tentang BM, tujuannya, bagaimana ke arahnya, membinanya, apakah perkara yang diperlukan untuk membinanya. Semuanya perlu diketahui terlebih dahulu dengan jelas & nyata.

Selain itu, pemuda yang berhasrat mahu berkeluarga lebih baik sekiranya mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas untuk dirinya sendiri & keluarga yang bakal dipimpinnya.
Nakhoda yang baik untuk mengetuai sesebuah perjalanan bahtera haruslah terlebih dahulu mengetahui arah tujuan, arah perjalanan, strategi & ilmu membaca cuaca & menghadapi badai di lautan yang bakal ditempuhi itu.

Kamu berkenan dengan seorang gadis, & kamu berniat baik mahu menikahinya. Namun, kamu terlupa bahawa kamu & dia adalah manusia yang perlu makan, tidur & berehat.

Kamu terlupa bahawa kamu memerlukan persiapan atau sekurang-kurangnya perancangan untuk menyediakan semua itu untuk kamu berdua sebaik sahaja melangkah ke alam BM yang diidam-idamkan sebelum itu.

Apa perancangan kamu untuk menyediakan kelengkapan bagi bakal isterimu & keluargamu kelak? Baik dari segi nafkah, tempat tinggal dan sebagainya.

Firman Allah SWT;"Dan kahwinlah orang bujang dalam kalangan kamu, & orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki & perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka & limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas RahmatNya, lagi Maha Mengetahui." [An-Nur 24: 32]
Jaminan rezeki Allah berikan buat mereka yang bernikah kerana mahukan redhaNya. Cumanya, kamu tetap perlu merancang & berusaha. 

Bukanlah bermakna kami perlukan banglo, kereta, makanan mewah-mewah. Tidak begitu. Namun, sekurangnya-kurang kesediaan asas-asasnya & persiapan ke arah itu menunjukkan kamu bersungguh-sungguh & telah bersedia untuk memikul tanggungjawab besar sebagai seorang bakal suami.

Maka, tolonglah sekurang-kurangnya telah tergambar the whole big picture di dalam fikiranmu, sebelum, semasa & selepas kehidupan BM itu. Peranan, keperluan & strategi yang perlu dilakukan. Bukannya terjebak ke dalam fasa merisik, taaruf (berkenalan) & khitbah (meminang) tanpa usaha, perancangan & strategi kehidupan setelah itu. 

Kegagalan perancangan & gagal membuat gambaran the whole viewinilah yang membuatkan usaha untuk ber-BM tadi terbengkalai & membuatkan gadis tadi tawar hati & menjadi ragu-ragu kepada niat murnimu kerana kegagalanmu menunjukkan kesungguhan itu.


Menyunting Mawar Agama Dengan Cara Yang Mulia & Terpelihara.

Keduanya, wahai peminang calon bidadari,
Pilihlah jalan/saluran yang betul untuk menyunting bidadari yang telah dipilih itu mengikut langkah demi langkah yang diajarkan Rasulullah SAW, yang disarankan oleh Islam. 

Terdapat pelbagai cara lelaki meminang wanita pilihannya. 

Ada yang mengikut cara lamaran dari Barat, melutut sambil mempamerkan cincin dengan melafazkan kalam lamaran cinta, melamar melalui video yang dipostkan di youtube, melamar sewaktuvalentine's day, melamar di hadapan orang ramai, melamar sewaktu siaran langsung rancangan televisyen. Ya, pelbagai cara lamaran yang kononnya manis-manis, indah-indah, eksklusif dan sebagainya. 

Namun, insyaAllah, bagi wanita yang beriman, tiada lamaran yang lebih manis, indah & eksklusif melainkan kamu langsung terus merisik, melamar & menawan hati wali tercintanya.
Niatmu kerana inginkan keredhaan Allah, dibuktikan melalui caramu yang terjaga, menjadikan kamu nampak sebagai pemuda yang berakhlak mulia di matanya. Ya, demi Allah, yang demikianlah lebih manis & diberkatiNya.
Hal ini kerana mereka tahu, keberkatan & kebahagiaan kehidupan perkahwinan setelah itu bukanlah bergantung kepada berapa manisnya lamaran yang kamu buat sebelum nikah. Namun, ia bergantung bagaimana ia dilayari setelah itu.

Maka, jangan membuatkan si dia keliru dengan niat baikmu dengan melamarnya melalui SMS terus kepadanya, email panjang berjela, ayat-ayat manis yang mahu 'berkenal-kenalan', 'berkawan-kawan' dahulu tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Kamu langsung terus kepada mawar yang sekuntum tanpa meminta dahulu kebenaran tuan empunya taman bunga itu. Sesungguhnya, untuk pengetahuanmu, cara ini meragukan, kelihatan tidak ikhlas, tidak budiman, pengecut & kurang beradab sebenarnya.

Lakukan sesuatu supaya wali si dia meyakini agama & akhlakmu. Buktikan bahawa kamu lelaki yang beriman, beradab, & diyakini akhlaknya!

Jika kamu serius mencintainya, ingin menyuntingnya. Mengapa kamu takut mahu menghubungi ayahnya yang merupakan walinya?
Seharusnya kamu patut lebih takut berhubung terus dengannya & berlagho-lagho dengan SMS, email tanpa keperluan. Kamu hanya berdua dengannya. Ini seperti berkhalwat. & berkhalwat itu pastinya akan ada pihak ke-3; iaitu syaitan yang tidak pernah jemu untuk menyesatkan.

Ditakuti, niat yang murni akan berakhir dengan sesuatu yang menghinakan seperti zina. Nauzubillahi min zaliq.

Mungkin ada yang tidak puas hati,"Kenapa pula nak memikat hati bapanya? Bukankah aku nak bernikah dengan anaknya?"
Jika kamu lelaki soleh yang bijak, kamu pasti mengerti, hanya dengan memikat hati walinya-lah kamu akan segera mendapat tempat di hati wanita tersebut. InsyaAllah.
Lelaki yang sopan & gentleman begini, siapalah yang tidak mahu untuk menjadi pendampingnya...?
Di sini, sedikit perkongsian yang diambil & diadaptasi dari tulisan Dr Farhan Hadi (Cintaku Kerana Agamamu) tentang langkah-langkah asas untuk meminang bidadari pilihanmu. InsyaAllah, langkah-langkah ini sangat bersopan & praktikal.

MERISIK CALON PEMILIK CINTA
1) Merisik agama & akhlaknya melalui ustaz/ustazah/orang tengah yang soleh, solehah & dipercayai.

2) Bertaaruf (berkenalan) di dalam Majlis Taaruf bertemankan ustaz, ustazah, orang tengah ataupun di samping ahli keluarga sendiri. Proses ini juga boleh dilakukan tanpa berjumpa secara langsung, yakni dengan bertukar biodata yang mencerita perihal diri masing-masing tanpa berselindung yang dilakukan dengan bantuan orang tengah juga.

3) Berkenalan dengan bakal ayah & ibu mertua. Mengambil berat tentang kesihatan mereka. Bina tautan hati & ukhuwah melalui panggilan telefon.

4) Memujuk ibubapa untuk berukhuwah dengan keluarga bakal isteri melalui telefon. Digalakkan bapa berhubung dengan bapa wanita kerana suara bapa lebih mendominasi.

5) Membawa keluarga menziarahi keluarga pihak bakal isteri.Risikan dapat diteruskan dengan lebih sempurna apabila bersemuka. 

6) Bertunang. Menjaga adab-adabnya. Tidak mencuri fokus bakal isteri dengan mesej kosong tau panggilan telefon tanpa urusan. Berhubung hanya untuk keperluan.
7) Bernikah dengan kemenangan tanpa melakukan apa-apa yang menghampiri zina dalam tempoh merisik & bertunang. Indahnya!
Kurangkan berhubung dengan calon isterimu. Muliakanlah mereka selaku seseorang yang bakal menyempurnakan agamamu. Jangan kamu calarkan ke-solehah-an mereka sebelum tiba waktunya.

Selagi belum diijabkabulkan, mohon jaga diri, iman, hati, akhlak si dia & juga dirimu sendiri. Mari tetap menjaga ikhtilat & mantapkan pergantungan & doa kepada Ilahi.
Bantu si dia untuk menjadi hambaNya yang solehah. InsyaAllah, si dia juga akan akan berusaha untuk tidak menjadi fitnah buatmu.


Tetapkan Pilihan, Siapa Bakal Penghuni Hatimu?

Ketiganya, wahai pemuda calon penghuni syurga,

Istikharahlah kamu sebelum menetapkan pilihan hatimu untuk bertaaruf.

"Sesungguhnya, tidak akan menyesal seseorang yang beristikharah kepada Allah & beristisyaroh kepada makhlukNya." 
Adalah menghairankan & mengelirukan apabila seorang lelaki yang mengambil keputusan untuk bertaaruf, berkenal-kenalan, berkawan-kawan dengan ramai calon lain di samping wanita ini tadi. Kamu mungkin menyangka perbuatan ini adalah baik. Yelah, memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik. Namun, kamu mungkin terlepas pandang, apa perasaan wanita-wanita yang telah kamu taaruf.

Mereka bukannya peti ais di kedai barangan eletrik yang kamu boleh buka tutup pintu, sentuh itu, periksa ini. Kemudian, tidak berkenan, kamu pilih yang lain pula.

Jika kamu memang berhajat untuk memilih di antara ramai calon. Apakata kamu merisik melalui orang tengah dahulu tentang agama, akhlak & peribadi mereka serta elakkan dari bertaaruf terus dengan wanita itu bagi mengelakkan salah faham. Haruslah kamu sedar bahawa wanita ini fitrahnya hatinya mudah tersentuh.

Oleh itu, jangan lupa untuk beristikharah & tetapkanlah yang mana satu pilihan hatimu. Jangan berlama-lama dengan 'permainan' yang sebegini. Hati wanita bukanlah untuk dipermainkan. Sekiranya kamu mengambil keputusan untuk bertaaruf dengannya, pastilah seorang wanita senang tersalah sangka bahawa kamu sudah serius untuk ke fasa seterusnya.

Janganlah kamu berani menyentuhi sekeping hati wanita jika kamu tidak berniat untuk menjaga apa yang telah kamu sentuhi itu. Janganlah kamu berani mencuri hati wanita, jika kamu tidak berniat pun untuk menjaga apa yang telah kamu curi itu. Ini adalah peringatan & juga amaran.

Taaruf ertinya berkenalan. Bukannya mengajak bercinta. Jika tersilap langkah memahami makna 'taaruf' ini, kamu & dia boleh terjebak ke lembah menghampiri zina pula. SMS, phone call, email, FB inbox, chat & sebagainya tanpa batasan & bukannya atas dasar keperluan, apa bezanya tabiat ini dengan kelaziman pasangan yang bercinta di luar nikah (couple)?

Maka, hati-hatilah.

Pesanan Imam Hassan al-Banna;
"Walaupun seorang lelaki atau wanita mendampingi pasangannya 20 tahun sekalipun tetap dia tidak akan mengenalinya. Ini kerana ia akan cuba menyembunyikan keaibannya (zahir & batin). Setelah berkahwin, barulah keaiban itu akan terserlah." [Hadis al-Sulasa']

Jika kamu & si dia boleh bermujahadah mengawal ikhtilat semasa masih bujang. Mengapa tidak dilangsungkan mujahadah itu di dalam tempoh taaruf & bertunang ini? InsyaAllah, pastinya boleh.



Bait al-muslim (keluarga Islam) impian. 

"Jika niat kita mahu bernikah kerana Allah, Allah akan Membantu kita dalam menyempurnakan hasrat tersebut." [Ustaz Pahrol Mohd Juoi]

Kita sedang merencanakan untuk membina sebuah rumah. Yakni rumah tangga Islam. Maka, bahan binaannya haruslah daripada keimanan, kejujuran, kesungguhan & tawakal kepada Allah. Tiangnya dibuat daripada doa (istikharah) & usaha (istisyarah).

Terdapat cara yang baik, cara yang kurang baik, cara yang terjaga, cara yang kurang terjaga. Maka, usahakanlah untuk menggunakan cara yang terbaik & paling terjaga.

Firman Allah SWT;"Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia Menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia Menjadikan di antaramu rasa kasih & sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." [surah Ar-Rum (30): ayat 21] 




"Marriage is not about LOVE. It's all about making UMMAH." 




Monolog & Permintaan Kecilku Sebagai Seorang Wanita.

Aku sedar, pernikahan bukanlah semata-mata khayalan indah yang ditaburi mawar merah bahkan ia penuh dengan mehnah & onak duri. Pernikahan bukan hanya setakat untuk menghalalkan hubungan wanita & lelaki yang bukan mahram, bahkan ia adalah medan terbaik untuk melahirkan mujahid & mujahidah Islam. Bukan hanya untuk menerima & menerima, bahkan untuk memberi. 

InsyaAllah, untuk suami yang taat kepada Ilahi, aku akan ikhlas menemani di waktu senang mahupun susah, lapang mahupun sempit. Semua ini bukan untuk diri ini mahupun demi dia, melainkan matlamatnya hanyalah kerana Allah SWT.
InsyaAllah, baitul muslim ini bukan hanya di dunia, bahkan ingin bercinta sampai ke syurga. Mudah2an Allah memanjangkan jodohku dengan pasangan yang soleh, yang meminangku, menjadi sahabatku bukan hanya di dunia bahkan juga di syurgaNya kelak. InsyaAllah.

Oleh itu, sesungguhnya, risiklah aku, taaruflah denganku, pinanglah aku & nikahilah aku dengan cara yang terbaik. Cara yang terjaga & diberkati. Cara yang menghormati & memuliakanNya. 
Kerana sesungguhnya peribadi & akhlakmu kelak, ditentukan oleh akhlak & keperibadianku kini, maka, bantulah aku menjadi hambaNya yang solehah. Untuk aku menjadi bidadari di dunia & di syurgaNya nanti. Amiin.

Bantulah aku menjadi solehah, semata-mata untuk meraih redhaNya..








Sumber : www.layakkahakumenjadibidadarisyurga.blogspot.com

P/S : Artikel ini tidak ada tujuan lain melainkan sebagai rujukan dan ilmu pengetahuan sahabat sahabiah semua agar kita yang faham tentang dakwah dan perjuangan ini tidak sewenang-wenang atau sesenang-senang terjerumus dalam perkara yang tidak sepatutnya seorang da’ie lakukan.
Wahai syabab, "Marriage is not about LOVE. It's all about making UMMAH." 






Saturday, November 17, 2012

cuti???



Alhamdulillah, hampir seminggu sudah bercuti dari kesibukan belajar(sibuk ke...? perasan je kot huhu).. 

"Cuti ni jangan jadi dinosaur, tidur-bangun-makan.."
"Cuti ni manfaatkan sepenuhnya. khatam sebanyak mana buku buku haraki...."
"Cuti ni fikir macam mana nak perkasakan usrah lajnah, aktiviti2 surau dan lajnah...."

bla..bla..bla....

Jujur!

Benak fikiran ku semakin serabai, sesak, jam dll...
Banyak sangat ke yang aku fikir sampai otak boleh jam? ingatkan jalan raya je yang pandai jam..hmm... teringat usrah dua hari yang lalu bersama sama dengan mujahidah2 UMS. Usrah haraki yang di sampaikan oleh insan yang cukup aku kagumi, Asiah Yusro...

Alhamdulillah, terisi juga hati.. sungguh! aku sangat rindukan pengisian sebegitu, sejak aku 'berkahwin' dengan perjuangan, benda2 ni terasa macam semua cari sendiri, bak kata orang 'berdikari'. tapi satu yang aku pegang, bilamana kita inginkan sesuatu itu, dan kita berusaha untuk dapatkannya hasil usaha sendiri dan sudah semestinya jua pertolongan daripada ALLAH, sedikit demi sedikit aku mula menemui apa yang aku cari, and seriously, memang nikmat....

loading...thinking...feeling~

huhh...bukan mengeluh dengan kerja yang banyak tapi sebenarnya x banyak pun nak di bandingkan dengan Rasul dan para sahabat terdahulu.. cuma aku terkadang buntu, bingung bagaimana untuk menyusun langkah ini....

Monolog : 'ya Allah, tunjukkan aku jalan-MU...'



moga tulisan ini di jauhi fitnah~

Tuesday, September 18, 2012

Mujahid yang dirindukan...




Mujahid yang dirindukan,
 Aku tidak tahu di mana adanya dirimu,
Aku tidak tahu siapa kamu tetapi aku tetap menantikan kamu
 untuk menjemputku sebagai bidadarimu,

Mujahid yang dirindukan,
Andai tiba tika waktunya kita bertemu,
Tidak ku ingin pertemuan itu disulamkan nafsu,
 Dambaanku hanyalah redha Tuhanku yang satu kerana janjiNYA kita berpadu,

Mujahid yang dirindukan,
 Andai cintaku kepada Rabbku belum cukup,
 ku mohon DIA menjadikan dirimu yang mencukupkan cinta itu,
Andai ikhlas ku kepada perjuangan belum indah,
 ku mohon DIA menjadikan dirimu yang mengindahkan keikhlasan itu,
 Andai rindu ku pada syurga dan syahid belum kukuh,
 ku mohon DIA mengizinkan mu menjadi peniup semangatn kekukuhan itu..

 Mujahid yang dirindukan,
 Ku tahu dirimu sedang berjuang menegakkan agama NYA,
 Maka, jangan sekali kau mengingati diriku yang hina sehingga
 melalaikan ingatan mu kepada harumnya roh para syuhadah,
 Aku tidak mahu menjadi asbab akan kelalaianmu,
 Aku ini hanya ibarat secebis kain buruk yang tiada 
tandingan dengan bidadari di syurga yang ALLAH janjikan buat para syuhadah...

Namun Mujahid yang dirindukan,
 Jika benar ALLAH mengizinkan kau untukku,
 maka ambillah amanah ini didiklah diriku
 untuk menjadi wanita yang rindukan syurga,
 hiasilah diriku dengan tarbiyah ruhiyah,
 teguhkanlah jiwaku dengan nadi perjuangan,
 dan suluhkan harapanku untuk kemenangan ISLAM..

 Mujahid yang dirindukan,
 Jika pertemuan ALLAH izinkan di dunia,
 moga pertemuan itu tatkala kita disatukan dengan janjiNYA..
 tetapi jika perancangan ALLAH sebaliknya,
 semoga ada yang lebih baik untuk mu dan untukku
 di syurgaNYA...

~mujahadah itu pahit kerna syurga itu manis..
to get something that valueable, 
we have to sacrifice...~



Sunday, September 9, 2012

Terima Kasih...


Assalamu'alaikum. alhamdulillah, lepas beberapa bulan tidak mengupdate apa2 hari ni ALLAH beri sedikit waktu untuk mencatat sesuatu pada 'Nota Hati' kali ini..selawat dan salm buat nabi yang sentiasa kita semua rindui, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, sahabat baginda, para alim ulama', pejuang pejuang agama ALLAH dulu kini dan selamanya..

Alhamdulillah ya Allah...
7 September 2012 ; usiaku menginjak ke 19 tahun. Aku bersyukur kerana masih bisa bernafas bagi meneruskan perjuanganku di dunia ini sebagai seorang hamba Allah. Cepat masa berlalu.. 
Masa ulang tahun kelahiran hari tu, dapat beberapa SMS dari mamy, sahabat sahabiah dan tidak kurang juga dari yang tidak di kenali. papun, Syukran Jazilan, Jazakumullahu Khairan Khatira :) terima kasih doa doa dari kamu...
Tapi, dalam banyak SMS yang aku dapat, ada satu SMS yang betul betul buat aku rasa,, 'ya Allah, nda layaknya aku di kata sedemikian.......' antara baris ayat SMS adik tu ;

"...Ya Allah, semoga ukhuwah serta kasih sayang Kau 
jalinkan kepada kami berkekalan
 di dunia dan akhirat . .
Subhanallah . .
Melihat kakak sahaja mampu
menyejukkan hati saya.. 
..."
Terus terang, aku sangat terharu tapi dalam masa yang sama terasa benar benar tidak layak untuk dikatakan sedemikian. sangat menggunung dosa dosa dalam diri ini..astagfirullah..

Terima kasih buat geng 'housemate'yang buat kejutan kemarin( 8 Sep 2012 ), memang manang la kamu kasi kena aku :D
antara pelakonnya : 
-Norhasimah Hussin
-Rika Malik
-Sardewi Samaun
-Faridah Samaun
-Nur Hijrah Maran
-Afifah

ya Allah, macam betul2 ja kamu gaduh ~_~ 
tapi best juga kamu kalut sebab aku xda respon apa2..heheh...aku memang akan duk diam ja kalo orang marah :D papun, memang menjadi la lakonan kamu kemarin tu...
mau nangis pun ada, tapi nda dapat keluar airmata(telampau terharu kot :P)
thanks untuk Cheese Cake, really like it ;)



'ya Allah, hanya engkau yang mampu membalas segala kebaikan mereka..'

monolog : ya Allah, moga Kau sentiasa tetapkan keimananku tatkala aku di uji..ampuni dosa dosaku, dosa kedua ibu dan ayahku, pendidikku, ahli keluargaku, sahabat2 ku serta seluruh umat Islam..aku sangat2 akui diri ku ini amat kerdil, lemah tanpa-Mu..oleh itu ku mohon ya Rabb, tuntun langkahku dan sahabat2 ku yang lain dalam mengharungi jalan perjuangan ini..ameen ya Allah..

Syukran Cheese Cake ;)

Sunday, June 10, 2012

Words...


Assalamu'alaikum.. Alhamdulillah, pada tika ini ALLAH masih mencurahkan nikmat-Nya tidak henti henti buat hamba hamba-Nya dan juga diri penulis yang seringkali lalai dengan fatamorgana dunia.

Entri kali ini penulis ingin berkongsi sesuatu yang penulis dapat semasa 'blogwalking' di keheningan malam ini... Semoga bermanfaat ^_^

Bismillah.
Kata Salim A. Fillah, kadang-kadang bila penyampaian kita sukar untuk dihadam dan orang merasakan ianya berat, maksudnya hati kita belum sebenar-benar ikhlas atau kita masih belum mengamalkan apa yang kita sampaikan.
Seperti kita membaca 1 buku teori yang tebal itu, sangat terasa sukar untuk dihadam dan memerlukan waktu yang lama untuk membacanya. Sedangkan pada kata-kata yang ditulis dengan hati, barangkali ianya mudah sekali dihadam biar bagaimana berat pun yang disampaikan.
Sungguh, menyentuh hati itu dengan hati. Bukan dengan lidah semata-mata. Biar lancar pun kata-kata yang disampaikan, kalau hati si penyampai itu sendiri tidak mengamalkannya, maka sangat sukar untuk menembusi hati orang-orang lain.
Bila kita berusaha supaya orang akan terkesan dengan apa yang kita sampaikan adalah bila kita benar-benar beramal dengan apa yang kita sampaikan, bila hati kita benar-benar ikhlas menyampaikan, kerana Allah. Bukan kerana mahu mengesankan orang dengan kata-kata kita. Bukan sekadar mahu menyentapkan hati orang lain semata.
Kita mendengarkan kata-kata Allah kepada manusia kerana tiada apa pun yang dapat menembusi hati manusia lain, kecuali dengan ayat-ayat Allah, dan hati kita yang ikhlas dalam menyampaikan.
Ingatlah sahabatku, yang mengesankan hati manusia itu adalah Allah, bukan kita.
Bila kita seolah-olah kehabisan idea bagaimana cara menyampaikan supaya kebenaran itu tembus ke dalam hati manusia, adalah dengan cara mensucikan hati. Timbulkan cinta pada orang yang kau dakwahkan, lalu timbulkan cinta kepada apa yang ingin kau sampaikan.
Ingatlah sahabatku, dakwah ini tidak cukup sekadar 'menyampaikan' semata-mata tanpa kita sendiri yang harus mulakan dan amalkan. Kerana sungguhpun kita telah bebas dari tanggungjawab untuk menyampaikan sesudah menyampaikannya, kita tetap akan disoal dengan soalan kedua yaitu; "apakah kamu beramal terhadap apa yang kamu katakan?"
Allahu akbar.
Ini bukan menakut-nakuti, tetapi tidak lain dari muhasabah ke hati, lebih-lebih lagi kerja kita adalah menyampaikan perkara yang besar dan haq. Menyampaikan haq ini adalah agar bisa memahamkan manusia, menyentuh hati manusia untuk kenal Allah itu siapa.
Dan dengan menyentuh hati manusia itu sudah tentulah bahannya juga adalah sama dengan penyentuhnya - hati.
Semoga di padang mahsyar nanti, lidah ini, jari-jari ini, dan segala anggota badan yang dipergunakan untuk menyampaikan kebenaran di dunia, tidak bersaksi bahwa; "sesungguhnya tuanku ini hanya tahu berkata-kata tetapi tidak mengamalkan apa yang dikatakannya."
Nauzubillah.... :'(
Ps: tulisan ini pesanan istimewa buat diriku, diriku dan diriku yang barangkali masih belum ikhlas dalam menyampaikan. astaghfirullah...

Sumber : tak ingat


Sunday, June 3, 2012

KRIS KK 2012


Alhamdulillah...
Demikianlah lafaz yang terluncur di bibir ku tatkala selesai Kem Remaja Islam 2012. Sangat bersyukur kerana sekali lagi Allah beri kesempatan untuk menyertai program tahunan Kelab Remaja Ukhuwwah, KRU KK anjuran Persatuan Siswazah Sabah, PSS. Tetapi kali ini sebagai fasilitator ..

Teringat semasa mula mula berjinak dgn KRU...
Mulanya sebagai peserta, tahun demi tahun tarbiyyah yang datang silih berganti hinggalah sampai ke peringkat ini. 

SubhanALLAH! Maha Suci MU ya ALLAH...
Sungguh, penulis tidak menyangka bisa sampai ke tahap ini. Dari yang tidak tahu apa apa kepada tahu untuk bergerak kerja. Sungguh...indah perjalanan yang telah di rancang Rabb.

Semasa bersama sama dengan adik adik peserta, sejujurnya, penulis kurang yakin untuk memikul amanah yang di berikan itu. Bukan mudah untuk menyampaikan, apatah lagi memberi kefahaman agama kepada para peserta. Penulis bukanlah seorang yang petah berkata kata, jauh sekali bab bab debat, pidato dll... BERCAKAP... Itulah kelemahan penulis. Namun, kerana tekad dihati 'Aku buat semua ni kerana ALLAH! ALLAH! Aku yakin Dia pasti permudahkan urusanku ini. Bantu aku ya ALLAH....'

Kalimat 'Alhamdulillah' tidak putus putus terpacul dari bibir penulis setiap kali selesai setiap LDK. Penulis akui sepanjang berLDK bersama adik adik peserta, risau, gementar dan segala macam pe'el menemani penulis, bukan apa, takut takut ada yang tak tersampai atau tersalah maklumat. Namun, penulis serahkan segalanya kepada ALLAH... Biar ALLAH yang menilainya....

Di sini penulis sertakan beberapa gambar, biarla gambar yang berbicara...









P/S: Gembira dapat bertemu dengan kak yana rauf dan geng PoliKu muslimat dan kak lai serta geng UiTM muslimat... moga bisa ketemu lagi, insyaALLAH ^_^

Wednesday, April 25, 2012

Semakan Kemasukan Program Matrikulasi Sesi 2012/2013



Alhamdulillah. kepada adik adik lepasan SPM 2011, adik adik dah boleh buat semakan kemasukan ke Matrikulasi hari ni ^_^
all the best! 



Friday, March 16, 2012

Taat dan Wala' Dalam Ruang Lingkup Harakah Islamiyyah


MUQADDIMAH

Ketaatan merupakan suatu perintah yang mutlak daripada Allah swt agar taat kepadaNya dan juga RasulNya. Malah ketaatan tidak hanya terhenti di sana kerana di dalam ruang lingkup Hakarah Islamiyyah juga mengaplikasikan konsep ketaatan. Walaubagaimanapun konsep wala’ dan ketaatan di dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah tertakluk kepada syarat-syarat dan keadaan tertentu sebagaimana huraian di bawah.
PENGERTIAN TAAT
Taat bermaksud mematuhi segala arahan dan melaksanakannya dalam apa keadaan sekalipun samada susah atau senang berseusaian dengan kehendak atau pun tidak. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, “kami mendengar, dan kami patuh”, Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. Surah AnNur ayat 51
Ketaatan dan kepatuhan itu hanyalah kepada perkara-perkara kebaikan dan kebajikan yang tidak melanggar syara’ dan bukannya ketaatan yang membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa. Sabda Rasulullah saw:
“Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap muslim dalam perkara yang ia suka atau tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat” (H.R. Bukhari dan Muslim)
PENGERTIAN WALA’
Wala’ bererti : penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan.
Wala’ terkandung di dalamnya tiga unsur
1) Kasih sayang
2) Tolong menolong
3) Persefahaman
Konsep Wala’ yang diamalkan di dalam organisasi Islam bermaksud kesetiaan seorang Muslim kepada saudara seagamanya samada sebagai seorang ketua, pimpinan, imam atau kawan.
Secara umumnya pengertian wala’ dan taat dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah ialah kepatuhan dan ketaatan kepada pimpian dalam saf perjuangan Islam.
HUKUM MEMBERI WALA’ DAN KETAATAN
a. Hukum Mewajibkannya
Kewajipan memberi wala’ kepada pimpinan di dalam saf perjuangan Islam amat penting dan sekaligus ianya sebagai neraca untuk menentukan masa depan gerakan Islam itu sendiri. Allah memerintahkan manusia supaya mentaati pemimpin dan sekaligus memberikan wala’ dan ketaatan kepadanya. Firman Allah swt yang bermaksud:
“wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (yang bertaqwa) di kalangan kamu. Maka sekiranya kamu berselisih di dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul” (Surah an-Nisa: 59)
Sabda Rasulullah saw :
“Sesiapa yang mentaatiku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan sesiapa yang menderhakaiku, sesungguhnya dia telah mendurhakai Allah. Sesiapa yang taat kepada ketuanya sesungguhnya dia telah mentaatiku, dan sesiapa yang derhaka kepada ketuanya, sesungguhnya dia telah mendurhakaiku” (H.R. Bukhari, Muslim, Ibnu Majah)
sabdanya lagi:
“Dengarlah dan taatlah, sekalipun kamu diperintahkan oleh seorang budak Habsyah yang rambutnya seperti anggur kering”
al-Imam Fakhrur Razi memberi ketegasan di dalam hal ketaatan ini dengan meletakkan keputusan syura secara ijma’ adalah satu sumber dalil. Keputusan ini menjadi kewajipan kepada manusia untuk mentaati secara jazam. Martabat ini lahir disebabkan ijma’ ummah itu bukan keputusan yang ma’sum. Hak ketaatan yang asahaja. Sungguhpun begitu kewajipan untuk meletakkan kepatuhan kepada ketua atau pimpinan seterusnya memberi wala’[ adalah diputuskan sebagai kewajipan dalam agama.
b. Hukum Mengharamkannya.
Dalam hal ini jelas sebab-sebab mengapa Islam mengharamkan penganutnya memberi wala’ kepada pemimpinnya. Rasulullah saw sendiri telah menggariskan batas-batas ketaatan kepada para pemimpin. Sabda Rasulullah saw:
“Tiada ketaatan untuk makhluk dalam perkara maksiat (derhaka) kepada pencipta (Allah)”
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah ketaatan yang mutlak hanya kepada Allah dan RasulNya. Adapun terhadap pemimpin yang derhaka kepada Allah tidak diharuskan kepada orang beriman memberi wala’ dan ketaatan bahkan Islam mewajibkan umatnya supaya menentang kemungkaran dan kezaliman.
BEBERAPA MASALAH DISEKITAR WALA’ DAN PENYELESAIAN
Permasalahan memberi wala’ ini sering berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah:
1. Tidak meletakkan wala’ yang mutlak kepada Allah.
2. Tidak memahami konsep berjemaah
3. Tidak menghayati waqi’ semasa
4. Tidak mempunyai pendidikan Islam
5. Tidak ada unsur tawadhu’ ketika berjemaah
6. Tidak ada perasaan cintakan kepimpinan.
LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN
Secara dasarnya masalah yang timbul sekitar wala’ dan ketaatan di dalam Harakah Islamiyyah ini dapat dibendung melalui:
1. Mengemaskinikan kembali organisasi saf
2. Membuat pengisian pentarbiyyahan kepada anggota.
3. Mengemaskinikan lagi tanzim dalaman.
4. Membuat tindakan dan perancangan melalui keputusan syura
5. Meluaskan medan perjuangan keperingkat global.
6. Memperbanyakkan kerja-kerja kebajikan am.
Permasalahan wala’ dan ketaatan ini sekaligus memberi tamparan hebat kepada pendokong-pndokong Islam tetapi ia merupakan satu pentarbiyyahan dalaman yang tidak sekali-kali melemahkan semangat perjuangan bahkan meningkatkan lagi prestasi perjuangan.
KESIMPULAN
Wala’ dan ketaatan di dalam ruang lingkup Harakah Islamiyyah ini merupakan suatu tuntutan utama walaupun ia mempunyai permasalahan-permasalahan yang tertentu. Permasalahan ini menjadi bahan pentarbiyyahan jika sekiranya pendokong Islam itu benar-benar yakin kepada Allah. Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang menolong agamaNya. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman. Sesungguhnya jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan memperkukuhkan kedudukanmu” (Muhammad : 7)